Saya tidak pernah membaca manga atau menonton anime Bleach. Siri popular tersebut sentiasa menarik perhatian saya, tetapi oleh kerana kesibukan hidup saya tidak berkesempatan untuk mengikut siri tersebut sebelum ini. Kini Bleach sudah pun berakhir, tetapi setelah 16 tahun terbitan manga dan lebih 300 episod anime, saya merasa sedikit gentar untuk bermula.

Tiba pula adaptasi aksi hidup Bleach di Neflix pada tahun 2018. Produksi terkini dalam siri adaptasi aksi hidup daripada Warner Bros., filem arahan Satō Shinsuke ini berjaya menterjemahkan siri ini ke layar perak melalui adegan aksi yang menarik, CGI yang meyakinkan, dan lakonan mantap oleh barisan pelakon utama.

Kurosaki Ichigo, lakonan Fukushi Sota, adalah seorang remaja sekolah bersifat ingkar tetapi dengan naluri untuk memelihara orang lain yang tinggi. Kehidupan Ichigo digegarkan apabila beliau bertemu dengan Kukichi Rukia, dilakonkan dengan mantap oleh Sugisaki Hana. Rukia merupakan seorang shinigami (dewa maut) dalam tugasan memburu roh-roh sesat di bumi yang digelar sebagai Hollow. Kuasa shinigami Rukia terpaksa dipindahkan kepada Ichigo apabila Rukia dicederakan oleh sebuah Hollow, maka dengan kuasa shinigami baharu beliau Ichigo berjaya menumpaskan Hollow tersebut.

Selebihnya filem ini mengikuti perubahan Ichigo menjadi seorang shinigami sementara sambil dilatih Rukia, yang kini menyamar sebagai pelajar tukaran baru di sekolah Ichigo. Mereka berganding bahu dengan tujuan untuk menewaskan Grand Fisher, sebuah Hollow yang mempunyai ikatan dengan sejarah silam Ichigo. Rukia juga mahu pulang ke Soul Society, iaitu dunia asal shinigami. Tetapi sebelum itu beliau perlu mengambil balik kuasa shinigami yang dipinjamkan kepada Ichigo. Namun perkara ini tidak mungkin dijayakan selagi Ichigo belum menewaskan Grand Fisher.

Ichigo dan Rukia
Ichigo (Fukushi Sota) dan Rukia (Sugisaki Hana)

Salah satu kejayaan Satō dengan adaptasi ini adalah penerangan konsep dan latar belakang dunia shinigami dan Hollow dengan cara yang mudah faham untuk penonton yang baharu kepada siri Bleach. Ini perkara yang sering gagal dalam adaptasi aksi hidup lain, tetapi melalui vignet animasi lukisan dan imbasan kembali, filem ini berjaya menyampaikan butiran-butiran yang penting kepada penonton secara ringkas.

Filem Bleach ini dihidupkan dengan lakonan yang segar dan tidak keterlaluan oleh barisan pelakon utamanya. Lakonan Fukushi sangat meyakinkan sebagai seorang remaja yang hanya mahu meneruskan kehidupan sekolah beliau tanpa menghiraukan dunia shinigami. Sugisaki juga menawan kita dengan lakonan beliau sebagai Rukia yang perlu bertukar wajah antara watak shinigami tegas dan watak pelajar perempuan yang comel, seringkali dalam adegan yang sama. Mereka berdua juga mempunyai karisma yang baik dengan satu sama lain, dan adegan sesi latihan mereka adalah antara sorotan filem ini.

Bleach turut mempamerkan adegan aksi yang menarik. Koreografi aksi pedang nampak jelas, dinamik, dan membuka peluang bagi menonjolkan pergerakan yang bergaya. CGI dalam filem ini cukup berkesan (sudah tentulah tidak setanding dengan filem bajet besar Hollywood), dan apabila digabungkan bersama lagak ngeri wirework yang praktikal, penonton pasti terhibur dengan aksi-aksi perlawanan dalam filem ini khususnya di adegan kemuncak.

Abarai
Saotome Taichi sebagai Abarai Renji

Namun begitu bukan semuanya berseri dengan filem ini. Watak-watak antagonis utama seperti Byakuya, lakonan Miyavi, dan Abarai Renji, lakonan Saotome Taichi, tidak diberikan ruang untuk berkembang. Malah Saotome sebagai Abarai merupakan titik rendah filem ini apabila lakonan beliau tampak lebih kartun daripada watak Hollow yang CGI. Watak-watak sampingan seperti rakan-rakan sekolah Ichigo rata-ratanya terhad kepada adegan jenaka, kecuali Ishida, lakonan Yoshizawa Ryō, yang tampil bersama Ichigo dalam beberapa adegan penting.

Ciri-ciri negatif seperti ini sering muncul dalam adaptasi aksi hidup yang perlu memampatkan perkembangan panjang jalan cerita bahan sumbernya kepada sebuah filem yang panjangnya hanya 108 minit. Saya yakin bahawa terdapat banyak elemen yang dipotong daripada sumber asal yang pasti mengecewakan segelintir peminat setia. Tetapi hasilnya adalah sebuah filem yang fokus dan lincah. Satō juga menanam benih yang boleh tumbuh dalam filem sekuel sekiranya ada. Ini membolehkan adaptasi Bleach ini untuk bangkit menjadi antara adaptasi manga/anime ke aksi hidup yang terulung setakat ini.

Bleach disimpulkan lengkap sebagai sebuah filem yang boleh berdiri sendiri. Bagi penonton kali pertama seperti saya, ia berjaya memperkenalkan saya kepada dunia Bleach dan menarik perhatian saya untuk menerokai karya asalnya. Dengan kualiti pembikinan yang tinggi, saya yakin bahawa penonton baharu mahupun peminat setia akan terhibur dengan adaptasi aksi hidup Bleach ini.

TINGGALKAN BALASAN

Masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini