Ore ga Suki nano wa Imōto dakedo Imōto ja nai, siri anime yang diadaptasi daripada novel ringan dengan nama yang sama telah memulakan tayangan minggu lalu. Walaubagaimanapun, episod keduanya yang ditayangkan Rabu lalu membawa kemarahan penonton dan peminat siri tersebut.

Rata-rata penonton yang pernah menonton episod pertama minggu lalu menyedari penurunan kualiti animasi dan lukisan yang drastik pada episod ke-2 tersebut. Mereka menyatakan ketidakpuasan di Twitter sehinggakan istilah “sakuga hōkai” (keruntuhan animasi) sohor di laman sosial tersebut.

Para peminat kemudiannya mula mencari penyebab kepada perbezaan kualiti berkenaan dengan merujuk kepada bahagian kredit kedua-dua episod. Studio animasi Buyu disenaraikan untuk kerja-kerja animasi in-between dan kemasan untuk episod 1 dan 2. Namun untuk episod ke-2, mereka juga dipertanggungjawabkan dengan tugas yang lebih penting iaitu animasi utama (key animation) dan semakan in-between. Inilah, menurut peminat-peminat tersebut, perbezaan yang mungkin menyumbang kepada “sakuga hōkai” epsiod ke-2 itu.

Ada pula di kalangan peminat tersebut mengandaikan sebahagian besar kerja animasi episod ke-2 itu sebenarnya ditugaskan kepada produksi luar negara.

Apa pun puncanya, ini bukanlah perkara baharu yang terjadi di dalam produksi anime. Siri popular seperti One Piece dan Naruto juga ada mengalami masalah yang sama. Kepada para pembaca yang menonton siri Ore ga Suki nano wa Imōto dakedo Imōto ja nai, adakah anda juga perasan dengan penurunan kualiti animasi pada episod terbaharu ini?