Pengarah anime terkenal, Shinkai Makoto dan studio CoMix Wave hari ini mengumumkan karya filem anime mereka yang akan datang. Laman web rasmi juga dilancarkan bagi mempromosikan filem anime tersebut yang bakal ditayangkan pada 19 Julai 2019. Tajuk filem terbaharu tersebut ialah Tenki no Ko: Weathering with You.

Tenki no Ko

Tenki no Ko bakal mengambil tempat di dalam dunia di mana keseimbangan cuacanya telah menjadi kacau bilau. Watak utamanya, Morisaki Hotaka, pelajar remaja yang melarikan diri dari rumah di sebuah pulau terpencil. Di Tokyo, dia bertemu dengan Amano Hina, seorang gadis yang mempunyai kuasa misteri, mampu mengubah cuaca kepada cerah dengan hanya “berdoa”.

Tenki no Ko

Selain Shinkai Makoto sebagai pengarah, dan penulis skrip, Tenki no Ko mengambil Tanaka Masayoshi (AnoHana) untuk rekaan watak. Manakala untuk pengarah animasi ialah Tamura Atsushi (Chiisana Eiyuu) dan pengarah seni ialah Taniguchi Hiroshi (Kotonoha no Niwa). Watak Morisaki Hotaka akan disuarakan oleh Daigo Kotaro dan Amano Hina pula oleh Mori Nana.

Berita pengumuman filem ini pastinya membuatkan peminat Shinkai Makoto teruja. Filem terakhir beliau yang keluar pada tahun 2016, Kimi no na Wa menerima sambutan hangat daripada pengkritik dan penonton. Ia juga dianggap oleh ramai sebagai penanda aras kepada visual dan penceritaan filem anime atau animasi secara keseluruhan.

Pada masa ini, belum ada sebarang gambar rekaan visual atau treler yang disediakan untuk filem Tenki no Ko ini kecuali poster di atas. Teruskan mengikuti Updated.my untuk perkembangan selanjutnya.