Kakegurui, siri manga karya Kawamoto Himura dan Naomura Toru kini hangat diadaptasi. Siri tersebut sebelum ini sudah diadaptasi kepada siri anime pada Julai 2017 dan siri drama aksi hidup pada Januari 2018. Terkini, musim ke-2 animenya bakal disiarkan pada Januari 2019.

Kakegurui XX

Musim ke-2 ini bakal membawa kembali watak-watak utama dan pelakon suara daripada musim pertamanya seperti:

  • Hayami Saori sebagai Jabami Yumeko
  • Tanaka Minami sebagai Saotome Meari
  • Tokutake Tatsuya sebagai Suzui Ryōta
  • Wakai Yūki sebagai Sumeragi Itsuki
  • Nanami Karin sebagai Nishinotōin Yuriko

Turut akan muncul watak-watak baharu seperti “Batsubami” Rei, Totobami Terano, Totobami Yumi dan lain-lain.

Studio anime MAPPA sekali lagi diberi tanggungjawab menghasilkan siri anime Kakegurui ini dan turut serta sebagai pengarah bersama adalah Matsuda Kiyoshi dan Hayashi Yuichiro.

Di samping siri anime musim ke-2, siri drama aksi hidup Kakegurui juga akan menerima musim kedua pada musim bunga tahun 2019 diiringi filem aksi hidup. Untuk versi aksi hidup, musim ke-2 siri dan filemnya akan mengekalkan pelakon-pelakon daripada musim pertamanya. Antara yang kembali ialah Hamabe Manami sebagai Jabami Yumeko, Takasugi Mahiro sebagai Suzui Ryōta dan Morikawa Aoi sebagai Saotome Meari.

Poster filem Kakegurui
Poster filem Kakegurui

Untuk yang tidak mengetahui, siri Kakegurui berlatar belakangkan Akademi Persendirian Hyakkou. Akademi tersebut menyediakan silabus pembelajaran normal pada siang hari, manakala di luar waktu persekolahan, ia bertukar menjadi gelanggang perjudian. Ia mendidik pelajar-pelajarnya yang terdiri daripada anak-anak orang-orang berpengaruh dan kaya seni menguruskan wang dan memanipulasi orang lain. Slogan Akademi Hyakkou, “Wang ialah kuasa” mendorong pelajarnya belumba-lumba menjadi yang terhebat di dalam permainan judi.

Watak utama Kakegurui, Jabami Yumeko, ialah pelajar baharu yang hebat di dalam permainan judi. Namun sasarannya bukanlah wang tetapi keseronokan dan keterujaan semasa bermain.

Manga Kakegurui sudah diterbitkan sejak 2014 dan terkumpul sebanyak 10 jilid. Manakala karya spin-off, Kakegurui Twin diterbitkan sejak 2015 dan terkumpul sebanyak 7 jilid.

TINGGALKAN BALASAN

Masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini