Siri anime SSSS.Gridman ini berasaskan watak daripada siri Denkou Choujin Gridman namun ia bukanlah pembikinan semula, tetapi membawa jalan cerita baharu. Pembikinan anime ini terhasil daripada kerjasama Tsuburaya Productions dan Studio Trigger.

Plot

Episod 1 SSSS.Gridman bermula dengan menunjukkan seorang pelajar perempuan ternampak cahaya di langit pada waktu siang. Cahaya tersebut kemudian berpecah kepada lima (atau enam?). Babak seterusnya beralih kepada Hibiki Yuta yang terjaga daripada tidur di rumah rakan sekelasnya, Takarada Rikka.

Apa yang peliknya, Yuta langsung tidak mengenali Rikka dan kehilangan memorinya. Kemudian dia terdengar suara dan ternampak robot bercakap di dalam skrin sebuah komputer lama di rumah Rikka. Apabila keluar, Yuta juga dapat melihat seekor raksasa besar berdiri jauh dari mereka. Namun Rikka dan orang lain tidak dapat melihat atau mendengar perkara yang sama.

Visual

Rekaan Gridman sememangnya kelihatan seperti watak asal siri aksi hidupnya dahulu, tetapi lebih moden. Bagaimanapun, kepada yang tidak mengenali Gridman, ia akan kelihatan seperti rekaan Ultraman yang baharu. Kedua-duanya adalah rekaan Tsuburaya, dan memang banyak persamaan.

Seterusnya, lukisan dan pengwarnaan untuk anime ini berkualiti tinggi. Watak-watak dan latar belakang dilukis dengan cantik dan animasi juga lancar dan memukau. Sesuai dengan reputasi Studio Trigger.

Satu-satunya bahagian yang mungkin menerima kecaman, ialah penggunaan model 3D janaan komputer untuk animasi Gridman dan raksasa. Bagaimanapun, pada pendapat saya, kerana ia juga menggunakan teknik cell-shading, hasilnya agak kemas dan tidak kelihatan janggal.

Audio

Separuh masa pertama episod 1 hampir tidak menggunakan sebarang muzik latar. Fokus diletakkan kepada dialog dan kesan bunyi. Bagi saya, ini memberi ruang kepada penonton menghadam perbualan dan memahami situasi Yuta dan Rikka dengan lebih baik.

Muzik hanya mula dimainkan selepas babak kemunculan raksasa dan Gridman, maka impaknya lebih besar dan jelas.

Prestasi lakonan suara watak-watak pula, terutamanya Rikka (oleh Miyamoto Yume) adalah sangat cemerlang. Penyampaian mereka terasa semulajadi serta tepat mengikut situasi dan emosi.

Ulasan Episod 01

Saya sukakan cara cerita latar anime ini dihidangkan. Ringkas dan kemas tetapi masih penuh dengan persoalan. Penonton diberi peluang sama seperti watak-watak anime tersebut. Setakat mana yang mereka nampak dan faham, begitu jugalah apa yang penonton dapat.

Kita juga akan ternanti-nantikan penerangan seterusnya seperti mengapa Yuta kehilangan memori? Dari manakah datangnya Gridman dan raksasa? Siapa pula watak misteri yang muncul beberapa kali di dalam episod pertama ini? Apakah kepentingan lima cahaya yang kelihatan pada babak pertama?

Harus tonton?

Walaupun premis anime SSSS.Gridman ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi setakat yang dipertontonkan pada episod pertama sudah cukup untuk membuatkan saya menantikan episod seterusnya. Ya, harus tonton!

TINGGALKAN BALASAN

Masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini