Sempena Anugerah Golden Globes ke-76 yang bakal berlangsung pada 6 Januari 2019 nanti, Hollywood Foreign Press Association (HFPA) telah memilih filem anime Mirai untuk calon filem terbaik, kategori animasi. Filem-filem lain yang dicalonkan untuk kategori tersebut ialah Incredibles 2, Isle of Dogs, Ralph Breaks the Internet, dan Spider-Man: Into the Spider-Verse.

Filem Mirai juga dicalonkan untuk Anugerah Tahunan Annie di dalam kategori Filem Animasi Bebas Terbaik dan Pencapaian Cemerlang Penulisan Filem Animasi. Majlis anugerah tersebut akan berlangsung pada tahun hadapan.

Di samping itu, filem ini juga telah dihantar untuk pencalonan Anugerah Oscar 2019 untuk kategori Filem Animasi Terbaik. Turut dihantar ialah filem anime Maquia, Liz to Aoitori dan 5 lagi filem anime.

Mirai juga telah memenangi anugerah Filem Animasi Terbaik di Sitges International Fantastic Film Festival ke-51 di Sepanyol pada bulan Oktober yang lalu.

Mirai menceritakan mengenai kehidupan sebuah keluarga yang tinggal di dalam rumah kecil di hujung bandar. Kun-chan, anak berumur 4 tahun yang sering dimanjakan oleh keluarga tersebut. Apabila adiknya Mirai dilahirkan, Kun-chan merasakan kasih sayang keluarganya tertumpu kepada adiknya sahaja. Dengan perasaan yang penuh kebingungan dan kekecewaan, Kun-chan tiba-tiba bertemu dengan Mirai yang sudah remaja yang datang dari masa hadapan.

Filem tersebut ditulis dan diarahkan oleh Hosoda Mamoru (juga pengarah filem anime Toki wo Kakeru Shojo), dan disertai oleh Aoyama Hiroyuki dan Hata Ayako sebagai pengarah animasi. Filem Mirai telah ditayangkan di Jepun pada Julai yang lalu dan telah mengutip sebanyak 25 juta USD.

TINGGALKAN BALASAN

Masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini