Filem aksi-hidup adaptasi manga dan anime popular, Gintama 2 baru-baru ini mencapai jualan melebihi 2.5 billion Yen (~RM93.5 juta). Angka jualan itu dicapai dalam tempoh 19 hari sahaja, 2 hari lebih cepat berbanding filem pertamanya.

Gintama 2: Okite wa Yaburu Tame ni Koso Aru (Undang-undang wujud semestinya untuk dilanggar), mula ditayangkan di 345 buah pawagam seluruh Jepun pada hari Jumaat, 17 Ogos 2018 yang lalu. Pada hujung minggu tersebut sahaja, ia sudah mencapai jualan melebihi 800 juta Yen.

Sehingga kini hasil gabungan jualan kedua-dua filem Gintama di Jepun sudah melebihi 4.85 juta tiket.

Filem Gintama 2 membawa kisah “Krisis Shinsengumi” dan “Resepsi Shogun” daripada manga asalnya. Barisan pelakon pula terdiri oleh Oguri Shun, Suda Masaki, Hashimoto Kanna dan Nagasawa Masami.

Siri manga Gintama yang mula diterbitkan di majalah Shonen Jump pada 2003 telah diadaptasi kepada pelbagai medium. Antaranya siri anime yang ditayangkan sejak 2006 sehingga kini (360+ episod), 2 filem anime dan 4 anime istimewa, permainan video dan 2 filem aksi-hidup.

Baru-baru ini juga, mangaka Gintama, Sorachi Hideaki mengesahkan bab terakhir siri manga tersebut akan menemui pembaca di dalam Weekly Shonen Jump keluaran 15 September 2018 akan datang.