“Terima kasih atas undian anda. Bahagian akhir bermula sekarang. Saya akan bekerja keras.”

Itulah mesej yang ditulis oleh pencipta manga “Yakusoku no Neverland”, Shirai Kaiu, di dalam imej yang tersebar di internet, kononnya imbasan majalah Weekly Shonen Jump keluaran akan datang.

Mesej tersebut menimbulkan rasa pahit manis bagi peminat siri manga tersebut, namun tidaklah mengejutkan. Shirai pernah mengatakan siri berkenaan sememangnya agak singkat. Sehingga kini, manga Yakusoku no Neverland sudah terkumpul dan diterbitkan sebanyak 10 jilid dan mempunyai cukup bab untuk menjadi jilid ke-11.

Menurutnya juga, di dalam temuramah Shonen Jump sebelum ini, manuskrip asas manga tersebut hanya menceritakan sehingga watak utama berjaya melepaskan diri daripada rumah anak yatim mereka. Maka dengan persetujuan editor, Shirai tidak mahu siri Yakusoku no Neverland itu terlalu panjang sehingga meleret.

“Secara idealnya, saya meramalkan 20 hingga 30 jilid,” katanya lagi.

Kepada yang tidak mengetahui, siri manga Yakusoku no Neverland, atau lebih dikenali sebagai The Promised Neverland, berkisarkan sekumpulan kanak-kanak yang cuba melepaskan diri daripada kurungan sebagai korban manusia. Lawan mereka ialah penjaga-penjaga dewasa yang dipanggil “Mama” yang menjaga mereka untuk dikorbankan kepada golongan “demon”. Bayangkan siri TV “Prison Break”, tetapi watak utamanya kanak-kanak di dalam rumah anak yatim.

Manga tersebut mula diterbitkan di dalam majalah Shonen Jump pada tahun 2016 dan merupakan salah satu siri paling popular di Jepun sekarang ini. Lebih-lebih lagi, semenjak pengumuman penerbitan animenya awal tahun depan.

Yakusoku no Neverland ditulis oleh Shirai Kaiu, dan dilukis oleh Demizu Posuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here