Seperti biasa, Tokyo Shoko Research, sebuah agensi laporan kredit melaporkan kedudukan kredit syarikat-syarikat di Tokyo. Kali ini dilaporkan memfailkan muflis ialah studio produksi anime Production IMS.
Studio tersebut yang mempunyai hutang sebanyak 250 juta yen (~RM10 juta) memfailkan muflis pada 21 September lalu di mahkamah daerah Tokyo dan memulakan proses prosiding pada 3 Oktober 2018.
Desas-desus masalah kewangan Production IMS sudah lama kedengaran semenjak membuat pengurangan pekerja pada Disember 2017. Juruanimasi Miyazaki Teru kemudiannya memuatnaik rungutan di Twitter, menyatakan studio berkenaan tidak membayar gaji pekerja. Namun tweet tersebut telah dipadamkan.
Seterusnya pada bulan Jun yang lalu, Production IMS mula menggabung dan menyusun hutang-hutang syarikat. Menurut sumber yang tidak dinamakan, kakitangan studio tersebut sememangnya bersedia untuk pengisytiharan muflis sejak memasuki prosiding.
Setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak syarikat berkenaan, tetapi laman web rasmi mereka ims.tokyo sudah tidak beroperasi.
Production IMS bermula pada 2013 dan siri anime pertama mereka ialah Inari Kon Kon pada tahun 2014. Anime-anime lain yang pernah dihasilkan oleh mereka termasuklah Date A Live II dan Hybrid x Heart Magias Academy Ataraxia. Terkini mereka menghasilkan siri Takunomi yang ditayangkan pada Januari 2018. Mereka juga pernah tersenarai di kalangan studio yang menerima anugerah anime Newtype 2015-2016 dengan siri High School Fleet.