Studio anime terkenal, P.A. Works (Angel Beats, Shirobako) mengesahkan siri terbaharu mereka bakal memulakan tayangan pada 5 Oktober 2018. Siri tersebut berjudul Irozuku Sekai no Ashita kara / Irozoku Sekai (Dari masa depan yang berwarna-warni) dan merupakan karya asli, bukan adaptasi daripada medium lain.
Berlatarkan masa depan di mana terdapat kuasa magis, Irozoku Sekai menceritakan kisah gadis berumur 17 tahun, Tsukishiro Hitomi yang berketurunan ahli sihir. Dia seorang yang pendiam dan kurang beremosi, dan mula kehilangan deria warna dalam penglihatannya. Bimbang akan masa depannya, nenek Hitomi, Tsukishiro Kohaku memutuskan untuk menghantarnya ke masa lampau, iaitu tahun 2018.
Penonton bakal melihat watak Hitomi berkembang melalui komunikasi hariannya dengan neneknya yang berumur 17 tahun dan ahli-ahli kelab sekolah yang lain.