Rata-rata peminat manga dan anime Shingeki no Kyojin (Attack on Titan) berpendapat jalan cerita musim ke-3 anime tersebut bergerak dengan rentak yang agak pantas. Pendapat mereka akhirnya disahkan oleh pencipta manga tersebut, Isayama Hajime, yang mahu memadamkan kekesalannya semasa menghasilkan bab “Uprising” manga itu.
Menurutnya, jalan cerita bab tersebut di dalam manga terlalu perlahan, seakan-akan beliau kehabisan tenaga untuk menyiapkannya. Perjalanan plot yang perlahan juga menjadi punca kepada banyak kelemahan di dalam bab “Uprising” versi manga.
Maka untuk anime, beliau ingin ianya diceritakan pada kelajuan yang terbaik dengan penceritaan yang lebih kemas. Isayama bekerjasama dengan penulis skrip anime, Seko Hiroshi supaya walaupun lebih laju, siri anime itu tidak terlepas pandang plot-plot yang penting.
Adakah anda perasan anime tersebut agak laju berbanding manga? Kami sukakannya, tetapi ini menyebabkan bilangan episodnya menjadi sedikit, jadi kami juga agak kecewa. Kongsikan pendapat anda di ruang komen.