Nampaknya semakin banyak karya manga dan anime diadaptasi kepada filem aksi hidup. Terkini, Legendary Entertainment mengumumkan mereka akan menghasilkan filem aksi hidup Boku no Hero Academia, karya mangaka Horikoshi Kohei.

Karya manga yang sangat popular tersebut sudah terjual lebih daripada 17 juta naskhah dan memenangi anugerah Sugoi Japan pada tahun 2017. Siri animenya pula sudah ditayangkan sebanyak 3 musim dan baru-baru ini filem animenya mencatat jualan melebihi 1.5 billion yen (~RM56 juta) di Jepun. Pencapaian itu menunjukkan potensi jualan yang besar untuk adaptasi aksi hidup, dan menarik perhatian Legendary Entertainment yang merupakan anak syarikat gergasi China, Wanda Group.

Pembikinan filem aksi hidup Boku no Hero Academia ini bakal diselia oleh Alex Garcia dan Jay Ashenfelter. Turut terlibat ialah Yoritomi Ryosuke yang juga merupakan editor manga tersebut, sebagai wakil dari pihak Shueisha. Syarikat Toho sebagai pengedar filem itu di Jepun.

Setakat ini, belum ada sebarang maklumat berkenaan tarikh tayangan dan barisan pelakon. Teruskan mengikuti Updated.my di sini dan laman Facebook kami untuk info selanjutnya.