Siri anime yang diadaptasi daripada novel, Yōjo Senki (Saga of Tanya the Evil) akan dijadikan filem dan tayangannya dijadualkan pada 8 Februari 2019. Laman rasmi siri anime itu semalam melancarkan klip video teaser ke-2 untuk filem tersebut.

Filem Yōjo Senki bakal membawa jalan cerita asli,mengambil tempat selepas peristiwa yang berlaku di dalam siri animenya.

Pada tahun 1926, Tanya dan pasukannya kembali ke kampung halaman selepas mengalahkan sisa-sisa tentera Republik. Sejurus tiba, mereka menerima maklumat pengerahan besar-besaran berdekatan sempadan Persekutuan Russy, maka tentera Empayar perlu bersedia. Pada masa yang sama, sebuah pasukan tentera di bawah Kerajaan Bersekutu sudah bergerak memasuki kawasan Persekutuan Russy. Bagaimanapun, di kalangan tentera tersebut, terdapat Mary Soux, seorang gadis yang menyumpah dendam kepada Empayar di atas kematian bapanya.

Uemura Yutaka, pengarah filem anime tersebut memberitahu majalah Newtype, filem Yōjo Senki ini akan menggambarkan perubahan hubungan Tanya dengan pihak atasan tentera, dan juga perkembangan pasukannya. Dia juga menyatakan bahawa filem ini dipersetujui untuk pembikinan kerana sokongan peminat, walaupun pada awalnya tiada sebarang perancangan selepas siri animenya tamat.

Tambahan Uemura, beliau persembahan filem Yōjo Senki ini sedikit sebanyak mengambil pengaruh filem arahan Christopher Nolan, Dunkirk. Beliau ingin memfokuskan kepada kesan bunyi dan mengoptimumkannya untuk tayangan di pawagam.

Untuk yang tidak maklum, siri dan filem anime Yōjo Senki diadaptasi daripada novel karya Carlo Zen dan Shinotsuki Shinobu dengan judul yang sama. Novel tersebut diterbitkan secara bersiri sejak tahun 2013 dan terkini sudah dikumpulkan ke dalam 8 buah jilid. Siri anime Yōjo Senki sudah ditayangkan pada Januari 2017 sebanyak 12 episod.

Ia mengisahkan Tanya Degurechaff, seorang gadis tentera terhebat yang di dalam Empayar. Di dalam dirinya ialah seorang lelaki yang bijak membuat percaturan, sebelum ini tinggal di Jepun yang aman damai. Tanya dengan memori lelaki berkenaan akan melakukan apa sahaja untuk kekal hidup di dunia yang penuh dengan peperangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here