Baru sahaja episod ke-3 siri anime Seishun Buta Yarou wa Bunny Girl Senpai no Yume wo Minai (Seishun Buta Yarou sahaja selepas ini) ke udara, filem anime berdasarkan siri novel yang sama sudah diumumkan. Menurut laman sesawang utama siri tersebut, filemnya bakal dihasilkan oleh studio animasi yang sama, iaitu CloverWorks dan akan tiba di pawagam tahun hadapan.
Filem berkenaan bakal membawakan cerita daripada buku ke-6 dan ke-7 siri novel Seishun Buta Yarou, masing-masing bertajuk Seishun Buta Yarō wa Yume-Miru Shōjo no Yume wo Minai dan Seishun Buta Yarō wa Hatsukoi Shōjo no Yume wo Minai. Laman rasmi tersebut juga memuat naik video iklan untuk filem yang akan datang itu.
Siri Seishun Buta Yarou membawa kisah watak utama Azusagawa Sakuta yang bertemu dengan gadis-gadis yang mengalami fenomena ganjil dipanggil Sindrom Akil Baligh. Fenomena tersebut memanifestasi perasaan atau emosi remaja yang menghidapinya kepada realiti. Episod 1-3 animenya memaparkan fenomena ganjil itu memberi kesan kepada Sakurajima Mai, seorang pelajar tahun 3 yang juga merupakan seorang selebriti popular.
Mai mula perasan yang masyarakat di sekelilingnya tidak lagi sedar kewujudannya. Semakin hari semakin ramai yang hilang memori kewujudan Mai. Untuk mengesahkannya, dia memakai kostum arnab yang seksi dan berjalan di tempat awam. Sakuta terlihat perbuatan Mai tersebut, dan selepas memahami situasi, Sakuta memutuskan untuk membantu Mai.
Episod-episod seterusnya pula akan memberi fokus kepada watak-watak lain yang juga mengalami Sindrom Akil Baligh tersebut, dengan Sakuta membantu mereka menyelesaikannya. Untuk filemnya nanti, Sakuta dan Mai akan bertemu dengan watak gadis misteri bernama Makinohara Shoko.