Studio dan syarikat perfileman gergasi Disney baru-baru ini menerima kecaman hebat daripada umum, akibat perubahan pada rekaan rupa watak Puteri Tiana di dalam filem Wreck-It Ralph 2: Raplh Breaks the Internet. Watak Tiana yang muncul sebagai kameo bersama watak-watak puteri Disney yang lain dilihat berbeza dengan rekaan asalnya terutamanya pada kulit yang dibuat lebih cerah dan bibir yang lebih nipis.
Disney nampaknya telah membuat perubahan itu di antara treler pertama filem Wreck-It Ralph 2 dan klip promosi terbaharu yang menayangkan puteri-puteri tersebut sedang berehat dan berpakaian kasual (lihat gambar utama artikel ini).
Sebahagian peminat dan kumpulan advokasi bangsa, “Color of Change” menekan Disney untuk menghasilkan semula animasi watak Puteri Tiana itu, dan Disney akhirnya akur. Turut terlibat ialah pelakon suara Tiana, iaitu Anika Noni Rose, di mana beliau berbincang dengan pihak animasi Disney bekenaan rekaan terbaru watak tersebut.
Kejadian ini sedikit sebanyak menunjukkan perubahan arus di mana tekanan umum kini mampu menyebabkan syarikat-syarikat mengubah pendirian. Lebih-lebih lagi di dalam bidang pengkaryaan yang pada kebiasaannya rekaan watak dan penceritaan tertakluk kepada pertimbangan karyawan itu sendiri.
Disney sudah memulakan proses penghasilan semula animasi yang melibatkan watak Puteri Tiana dan mengejar masa untuk tayanagn filem Wreck-It Ralph 2 pada bulan November akan datang.
Untuk yang tidak tahu, Puteri Tiana ialah watak dari filem animasi 2D tahun 2009 iaitu “Princess and the Frog”.
Treler filem Wreck-It Ralph 2 yang juga memaparkan adegan puteri-puteri Disney itu boleh ditonton di bawah: