Siri manga ciptaan penulis Carib Marley dan mangaka Imashiro Takashi, Hard-Core: Heisei Jigoku Brothers akan terbit sebagai filem aksi hidup dan memulakan tayangan pada 23 November kelak. Pihak Kadokawa telah memuat naik video treler filem tersebut di laman YouTube mereka. Video tersebut boleh ditonton di bawah:
Hard-Core: Heisei Jigoku Brothers (Saudara di Neraka Era Heisei), merupakan siri manga yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1993, dan terbitan susulannya pada tahun 2000. Ia menceritakan kisah Ukon, seorang yang anti-sosial membuat keputusan untuk menggali mencari emas.
Ukon disertai oleh rakan yang dipercayainya, Ushiyama, dan adiknya, Sakon. Semasa proses penggalian, mereka terjumpa sebuah robot usang. Apa yang menarik ialah, kemampuan robot itu jauh melebihi pencapaian teknologi masa sekarang. Tiga sekawan tersebut kemudiannya menggunakan fungsi-fungsi robot itu untuk mencari harta karun.
Filem aksi hidup Hard Core ini diterbitkan oleh Yamada Takayuki, yang juga memegang watak utama, Ukon. Watak-watak Ushiyama dan Sakon pula masing-masing dimainkan oleh Arakawa Yoshiyoshi dan Sato Takeru.