Legenda Ular Putih, sebuah mitos rakyat di China telah diadaptasi kepada filem animasi 3D dan bakal muncul di pawagam di China pada bulan Disember ini. Ia merupakan produksi bersama yang pertama Warner Bros. dan studio produksi di China. Studio yang bertanggungjawab membikin filem tersebut ialah Light Chaser Animation yang beroperasi di Beijing.
Kisah Ular Putih, menurut legenda, menceritakan roh seekor ular berwarna putih yang bertukar menjadi seorang wanita dan jatuh cinta dengan seorang lelaki biasa. Filem White Snake ini pula, bakal menceritakan kisah sebelum ia bertukar menjadi manusia.
Bedasarkan klip di atas, tema filem White Snake ini mungkin mensasarkan penonton yang lebih matang, dengan penceritaan yang lebih berat.
Filem animasi ini bukanlah kali pertama legenda Ular Putih diadaptasi ke layar perak. Pada tahun 2011, filem aksi hidup The Sorcerer and the White Snake telah diterbitkan dan dilakonkan oleh Jet Li. Bagaimanapun, penerimaan umum dan pengkritik tidak begitu memberangsangkan.
Sebelum White Snake, studio Light Chaser Animation juga telah menghasilkan filem-filem animasi lain seperti Little Door Gods (dinamakan The Guardian Brothers di Netflix), Cats and Peachtopia dan Toys and Pets. Filem-filem tersebut juga bakal ditayangkan di pawagam luar China pada masa akan datang.