Pelik? Sangat.
Unik? Betul juga.
Menarik? Bolehlah.
Zombieland Saga episod 1 boleh dikatakan sangat-sangat di luar jangkaan. Video trelernya sebelum ini memberi gambaran sebuah cerita seram tipikal untuk genre survival dunia yang diserang zombi.
Namun begitu, episod 1 bermula dengan menunjukkan watak utama Minamoto Sakura, bersemangat bersiap keluar ke sekolah di waktu pagi. Muzik dan visual yang berwarna-warni dan rancak memberi nafas ceria kepada adegan ini. Seolah-olah ini adalah sebuah anime genre sekolah yang biasa. Sedikit pun tidak seperti anime seram atau serius.
Tiba-tiba Sakura secara mengejut dilanggar oleh sebuah lori ketika melangkah ke luar pagar rumahnya. Kemudian diikuti ulang tayang perlanggaran tersebut daripada pelbagai sudut pandangan dan diiringi muzik metal. Kali ini visual mula membawa suasana ngeri dan seram.
Mungkin adegan awal tadi hanya satu lencongan?
Dalam fikiran saya pada ketika ini, mungkinkah lori itu sedang melarikan diri daripada serangan zombi? Atau pemandu itu mula dijangkiti penyakit dan hilang kesedaran? Adakah sebenarnya Sakura bukanlah watak utama? Dan bermacam-macam lagi persoalan. Yalah, video trelernya menunjukkan dunia yang menakutkan. Mungkin adegan awal tadi hanya satu lencongan?
Selepas lagu pembukaan tamat, Sakura terjaga di dalam sebuah rumah yang gelap. Luka pada kaki dan tangannya sudah dibalut. Semasa dia cuba mencari jalan keluar, tiba-tiba sekumpulan zombi perempuan muncul dan mengejarnya. Dia berjaya keluar dari rumah tersebut dan bertemu seorang polis peronda. Satu lagi kejutan terjadi.
Dari sini, beberapa lagi pintalan plot dan perkara ganjil terjadi. Setakat episod pertama ini, boleh dilihat premis anime Zombieland Saga sememangnya unik. Pendekatannya dalam cerita berasaskan zombi tidak seperti cerita aksi seram biasa tetapi lebih kepada komedi gelap.
Elemen kejutan yang banyak digunakan pada episod pertama hanya sebagai tarikan kepada penonton dan penetapan latar belakang cerita.
Bagaimanapun, selepas menonton episod ini, saya menjangkakan episod-episod seterusnya akan diceritakan dengan tona komedi berbanding seram. Elemen kejutan yang banyak digunakan pada episod pertama hanya sebagai tarikan kepada penonton dan penetapan latar belakang cerita.
pintalan plot dan pusingan tona anime ini mengingatkan saya kepada episod pertama Akame ga Kill
Sukar untuk saya menyamakan atau membandingkan anime ini dengan anime yang lain. Lebih-lebih lagi selepas hanya menonton episod pertama. Tetapi pintalan plot dan pusingan tona anime ini mengingatkan saya kepada episod pertama Akame ga Kill. Adegan pembukaannya membawa penonton ke satu arah, kemudian memberi kejutan dan melencong ke arah terbalik.
Dari sudut kualiti animasi, Zombieland Saga dihasilkan dengan sangat baik namun rekaan karakter hanyalah sederhana. Muzik dan rekaan bunyi juga berjaya menyampaikan suasana yang sesuai dengan setiap adegan. Untuk lakonan suara, sepanjang episod pertama, hanya 2 watak yang betul-betul berinteraksi, Sakura dan seorang watak lelaki. Bagi saya watak lelaki tersebut agak bising tetapi sedikit kelakar.
Namun unik dan pelik tidaklah semestinya menarik dan menyeronokkan
Apa yang boleh saya katakan ialah, Zombieland Saga ialah sebuah anime yang unik dan pelik. Namun unik dan pelik tidak semestinya menarik dan menyeronokkan. Pasti ada peminat yang sangat sukakannya, manakala mungkin juga ramai yang akan terasa ianya menjengkelkan. Saya pula masih belum buat keputusan (baru 1 episod sahaja).
Adakah saya akan menonton episod-episod Zombieland Saga seterusnya? Mungkin. Kalau ada masa. Anda pula bagaimana?