Blue Sky Studios yang sebelum ini hadir dengan filem-filem animasi seperti Ice Age dan Rio, kembali dengan filem terbaharu, Spies in Disguise. Ia bakal dibintangi bintang mega Will Smith dan Tom Holland (Spider-man Homecoming). Walaupun tarikh tayangannya masih jauh (September 2019!), klip video trelernya sudah dimuatnaik ke YouTube untuk tontonan:

Pada mulanya ia kelihatan seperti sebuah cerita perisikan biasa, dengan Lance Sterling (Will Smith) sebagai seorang perisik elit. Namun tidak dijangka, dalam proses penyamaran, Lance ditukar menjadi seekor burung oleh pembantunya, Walter (Tom Holland). Alasannya, burung ialah samaran terbaik kerana tiada siapa yang akan memberi perhatian kepada seekor burung.

Premis ini pastinya akan membawa pelbagai aksi lucu lebih-lebih lagi apabila Lance cuba menyesuaikan diri dengan samarannya. Mungkinkah dia juga akan bertukar kepada haiwan atau makhluk lain? Kita hanya boleh tunggu treler seterusnya atau kemunculan Spies in Disguise di pawagam tahun hadapan.