Avatar: The Last Airbender bakal mendapat nafas baharu dalam bentuk siri aksi hidup di Netflix. Syarikat penstriman video gergasi itu akan bekerjasama dengan Nickelodeon untuk menerbit siri baru ini yang bakal memulakan produksi pada tahun 2019.
Siri ini bakal diteraju oleh pencipta-pencipta asal siri Avatar: The Last Airbender iaitu Bryan Konietzko dan Michael DiMartino dan akan ditayangkan secara eksklusif di Netflix. Avatar: The Last Airbender menceritakan pengembaraan watak utamanya Aang serta rakan-rakannya untuk menyelamatkan dunia dan mengalahkan Fire Lord Ozai. Kata Konietzko dan DiMartino, “Kami tidak sabar untuk merealisasikan dunia Aang secara sinematik seperti kami sentiasa bayangkan, bersama barisan pelakon daripada etnik yang sepadan.”
Ini bukan kali pertama Aang akan dimainkan oleh pelakon aksi hidup. Sebuah filem aksi hidup arahan M. Night Syamalan berdasarkan siri Avatar: The Last Airbender pernah bermain di pawagam pada tahun 2010 namun ia tidak mendapat sambutan baik. Kami berharap kualiti siri aksi hidup ini lebih mendekati siri animasi asalnya dan karya lanjutannya The Legend of Korra.