Siri anime yang diadaptasi daripada permainan telefon pintar, Ingress akan mula ditayangkan pada 18 Oktober depan. Sehubungan itu, saluran +Ultra, yang akan menayangkan siri tersebut telah memuat naik video trelernya di laman YouTube mereka.

Ingress menceritakan watak utama, Makoto yang mempunyai kuasa membaca memori sebarang objek yang disentuhnya. Sambil menyembunyikan kuasanya yang tidak terkawal itu, dia menyertai pasukan polis sebagai ejen khas.

Semasa menyiasat letupan sebuah makmal yang mengkaji sejenis bahan yang dinamakan “XM”, Makoto ternampak suatu memori misteri daripada cincin kepunyaan Sarah, satu-satunya mangsa yang terselamat. Di situlah bermulanya penglibatan Makoto di dalam kancah konspirasi yang besar.

Siri anime ini diarah oleh Sakuragi Yuhei, bersama Irikawa Yoshinari dan Tsukishima Soki sebagai pembantunya. Pembikinannya pula dijalankan di studio Crafter.

Permainan Ingress yang dikeluarkan pada 2013 dibina oleh syarikat Niantic, yang terkenal dengan permainan Pokemon Go. Seperti Pokemon Go, Ingress merupakan permainan realiti terimbuh (augmented reality / AR) yang memerlukan pemain berjalan di dunia nyata untuk menyelesaikan misi.

Niantic juga mengumumkan versi baharu permainan itu, Ingress Prime akan muncul tidak lama lagi. Jalan cerita Ingress Prime akan menjadi cerita latar bagi watak-watak siri animenya yang akan keluar bulan depan.Pemain akan dapat menyelami prekuel anime Ingress sebagai watak-watak itu.

Syarikat pengstriman gergasi, Netflix juga akan menyediakan kesemua episod untuk tontonan bermula 18 Oktober 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here