Badan kerajaan di Jepun bernama Agensi Urusan Budaya telah mengumumkan niat untuk melarang “leech sites”, iaitu laman web yang mengagregat dan menyimpan pautan ke media cetak rompak. Ini mengikut liputan dalam surat khabar Mainichi Shimbun, Jumaat lepas. Agensi tersebut akan menyerahkan semakan terbaru ke Akta Hak Cipta dalam sesi Diet akan datang tahun 2019.
Dengan semakan terbaru ini, pemegang hak cipta boleh melarang pautan ke karya cetak rompak. Sebelum ini undang-undang hanya membenarkan larangan ke atas karya cetak rompak itu sendiri. Pengendali laman web juga boleh disabit kesalahan jika tidak mengendah larangan tersebut. Mereka boleh dipenjarakan sehingga tiga ke lima tahun.
Oktober lalu, polis di Jepun menangkap sembilan suspek kerana melanggar Akta Hak Cipta melalui laman web “Haruka Yume no Ato”. Laman web itu merupakan laman pautan cetak rompak terbesar di Jepun. Walaupun laman web itu tidak haram mengikut undang-undang terkini, suspek-suspek tersebut ditangkap kerana mengedarkan media cetak rompak yang dipautkan di laman web tersebut.
Persatuan Hak Cipta Untuk Perisian Komputer menggangar kerugian jualan sebanyak 73.1 billion yen (RM 2.7 billion) telah berpunca daripada laman web “Haruka Yume no Ato”.
Pada bulan April lepas, kerajaan Jepun meminta pembekal perkhidmatan internet di Jepun untuk melarang laman web yang mengandungi konten cetak rompak secara sukalera. Kerajaan Jepun juga merancang untuk mengembangkan skop larangan laman web tahun depan.
Persatuan Pengedaran Konten Luar Negara di Jepun menganggarkan kerugian kepada pemegang hak cipta di Jepun daripada aktiviti lanun cetak rompak antara September 2017 dan Februari 2018 mencapai jumlah lebih daripada 400 billion yen (RM 14.8 billion).
Jelas bahawa kerajaan Jepun akan mengambil langkah lebih serius untuk mengekang aktiviti lanun cetak rompak. Setakat ini kesannya hanya terhadap laman web yang berasal dari Jepun. Kesan terhadap laman web yang dihost di luar Jepun masih tidak dapat dikenalpastikan.