Constantin Film dilaporkan sedang dalam pembikinan filem aksi hidup adaptasi daripada permainan video popular, Monster Hunter. Hollywood Reporter terkini mengesahkan barisan pelakon yang bakal membintangi filem tersebut termasuk pelakon aksi terkenal, Tony Jaa.
Hi from South Africa, very excited to be part of Monster Hunter. This will be fun.https://t.co/TVcCjBKmMGhttps://t.co/z7hqwPMG2n pic.twitter.com/ChFHIQAfse
— Tony Jaa (@tonyjaaofficial) September 26, 2018
Tony Jaa akan memegang watak “Pemburu” dan digandingkan dengan Milla Jovovich (francais filem Resident Evil) yang memegang watak bernama Artemis. Selain itu, turut membintangi filem Monster Hunter ini ialah Ron Perlman (Hellboy) dan T.I Harris (Ant-Man).
Penggambaran filem Monster Hunter ini akan dijalankan di Afrika Selatan dan menelan perbelanjaan sebanyak ~RM250 juta. Constantin Film sebelum ini menerbitkan keenam-enam filem aksi hidup Resident Evil, dan sekiranya jualan filem ini memberangsangkan, kita mungkin dapat menonton beberapa filem lagi Monster Hunter di masa hadapan.
Untuk yang tidak tahu, Monster Hunter merupakan siri permainan video keluaran CAPCOM yang membawa pemain menjadi pemburu raksasa gergasi. Untuk filem aksi hidupnya, Impact Pictures memberi penerangan berikut:
Untuk setiap Raksasa, ada Wiranya. Seorang pemuda biasa mendapati beliau adalah pewaris seorang perwira purba. Dia harus mengembara ke dunia misteri untuk menjadi seorang Pemburu Raksasa, sebelum makhluk-makhluk dari dunia itu memusnahkan dunia kita.
Proses perfileman Monster Hunter akan bermula Oktober ini.