Perhatian kepada juruanimasi amatur dan profesional sekalian! Pertandingan animasi sempena Festival Anugerah Anime Tokyo 2019 (TAAF) kini mula menerima penyertaan.
Tujuan pertandingan ini adalah untuk mencari dan memupuk bakat-bakat baru di dalam industri pembikinan animasi, bersempena slogan festival iaitu “menjadikan Tokyo sebuah hub animasi”.
Pertandingan tersebut terbuka kepada para pengkarya amatur dan profesional, dari mana-mana negara. Ianya terbahagi kepada 2 kategori: animasi pendek (shorts) bertempoh 30 minit ke bawah, dan panjang (feature animation) yang bertempoh 60 minit ke atas.
Tarikh tutup penyertaan bagi kedua-dua kategori pula masing-masing pada 31 Oktober 2018 (Rabu) dan 10 November 2018 (Sabtu). Semua hasil animasi yang dihantar mestilah yang disiapkan selepas 1 Januari 2017.
Di samping pertandingan animasi tersebut, TAAF 2019 juga bakal menayangkan animasi-animasi jemputan dari seluruh dunia, bengkel untuk kanak-kanak dan pelbagai acara-acara lain. Festival yang diadakan buat kali keenam ini bakal berlangsung pada 8 – 11 Mac 2019, di daerah Ikebukuro, Tokyo.
Bagi anda yang berminat, maklumat lanjut berkenaan pertandingan dan TAAF 2019 boleh didapati di laman festival tersebut, http://animefestival.jp/en/award/competition/.
Jangan lepaskan peluang hebat ini untuk menyerlahkan bakat anda. Mana tahu, sekiranya menang, harumlah nama industri animasi Malaysia. Bolehlah kami menumpang bangga.