Menurut laman web rasmi Shingeki no Kyojin, musim ke-3 siri animenya akan berhenti seketika selepas episod 12 ditayangkan semalam. Pengumuman tersebut pastinya berita sedih buat peminat, namun lebih menyedihkan ialah bahagian seterusnya hanya akan ditayangkan bermula bulan April 2019! Tarikh tepatnya pula masih belum disahkan.
Bahagian seterusnya bakal membawa bab “Kembali ke Shiganshina” yang pastinya sangat dinantikan oleh pembaca manga Shingeki no Kyojin. Sedikit sebanyak, penangguhan musim ke-3 ini boleh difahami kerana bab tersebut bakal memaparkan banyak adegan penuh aksi. Studio Production I.G. dan Wit Studio boleh menggunakan masa ini untuk memastikan kualiti animasi episod-episod akan datang pada tahap yang terbaik.
Walaubagaimanapaun, reaksi peminat rata-rata kecewa dengan penangguhan ini, seperti yang dijangkakan. Ini kerana musim ke-3 Shingeki no Kyojin disenaraikan dengan 24 episod dan tiada sebarang makluman berkenaan penangguhan pernah dibuat. Lebih mengecewakan, ia ditangguhkan selama 6 bulan! Kenapa tidak disenaraikan sebagai musim ke-4 sahaja?