Sekali pandang, saya rasa lukisan anime Karakuri Circus seperti pernah dilihat sebelum ini. Selepas buat carian di Google barulah saya tahu, ianya hasil mangaka yang juga menghasilkan manga Ushio to Tora, iaitu Fujita Kazuhiro. Walaupun pernah membaca manga Ushio to Tora (di majalah Kreko dahulu) namun saya tidak pernah membaca karya Karakuri Circus. Maka siri anime ini ialah pertemuan pertama saya dengan karya ini.

Sinopsis

Sedikit latar belakang cerita Karakuri Circus. Ia mengisahkan Masaru, seorang budak lelaki yang baru kehilangan ayahnya akibat kemalangan jalanraya. Mendiang ayahnya yang merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat gergasi meninggalkan harta sebanyak 18 billion yen kepada Masaru.

Masaru disuruh mencari Shirogane, seorang yang mampu memberi perlindungan kepadanya di sebuah sarkis berdekatan. Dalam perjalanan ke sana, Masaru diculik oleh sekumpulan lelaki berpakaian hitam (macam Conan pula) tetapi kejadian itu dilihat oleh Narumi yang berada berdekatan. Narumi dengan segera menyelamatkan Masaru dan mereka melarikan diri dengan menaiki sebuah keretapi.

Pendapat Saya

Pendapat saya setelah menonton episod pertama ini ialah anime Karakuri Circus ini sangat menarik. Babak-babak yang terjadi di dalam epsiod ini berlaku dengan agak cepat. Seawal minit pertama ia sudah memberi amaran perkara dahsyat yang bakal terjadi. Beberapa minit kemudian Masaru sudah bertemu dengan Narumi dan seterusnya diculik. Krisis meningkat pada kadar segera.

Walaubagaimanapun, dicelah krisis tersebut Masaru sempat memberi sedikit info latar belakang yang terjadi kepadanya. Narumi pula, menghidapi penyakit yang pelik di mana nafasnya menjadi sesak apabila melihat orang lain sedih, dan akan kembali normal setelah membuat orang tertawa. Kerana itu, Narumi berkeputusan untuk membantu Masaru.

Konsep

Patung Boneka Karakuri Circus
Konsep unik: Patung boneka sebagai senjata

Di dalam episod ini juga, kita diperkenalkan dengan konsep utama Karakuri Circus, iaitu patung boneka istimewa yang dikawal oleh dalangnya. Boneka tersebut apabila dikawal boleh menjadi pahlawan atau senjata yang dahsyat. Bagi saya konsep inilah keunikan yang dibawa oleh Karakuri Circus yang memberi perisa lain berbanding kebanyakan karya aksi dan pengembaraan lain.

Melihatkan sumber asal, iaitu manganya mempunyai 43 jilid, saya berasa sedikit teruja. Setakat yang dipaparkan di dalam episod pertama ini, siri ini berupaya meneroka mitos di belakang konsep boneka dan seterusnya mempunyai dunia penceritaan yang luas. Versi anime ini dijadualkan untuk 36 episod, dan saya jangkakan ia akan disambung kepada sekurang-kurangnya kepada musim kedua.

Teknikal

Pembikinan siri anime Karakuri Circus ini di bawah Studio VOLN (Idol Incident, I Want to Eat Your Pancreas). Secara teknikalnya, bagi saya kualiti animasi, lakonan suara dan muzik anime Karakuri Circus setaraf dengan anime-anime lain yang dihasilkan pada tahun 2018. Lukisannya mengekalkan gaya lukisan asal manga (Studio VOLN juga hasilkan siri anime Ushio to Tora), manakala animasinya pula kemas dan cantik. Pilihan warna juga baik serta mudah untuk membezakan watak-watak. Tiada komplen untuk bahagian pembikinan, setakat episod pertama ini.

Teruskan Menonton?

Adakah saya akan teruskan menonton episod-episod seterusnya? Semestinya. Walaupun premis asasnya adalah seperti siri shonen yang biasa, namun konsep dunianya agak unik dan hala tuju ceritanya berpotensi tinggi.

Anda dah tonton? Apa pula pendapat anda?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here