Persatuan Pengkritik Filem Los Angeles (LAFCA) semalam mengumumkan mereka akan memberikan Anugerah Pencapaian Kerjaya kepada pengarah anime tersohor, Miyazaki Hayao. Penyampaian anugerah tersebut bakal mengambil tempat bersempena majlis makan malam tahunan organisasi itu pada Januari 2019 di California.
Menurut Claudia Puig, presiden LAFCA, “Cara Miyazaki Hayao memberi inspirasi kepada rasa ingin tahu para penonton tiada tandingan. Saya terutamanya mengkagumi cara beliau menggambarkan watak perempuan yang tabah, gagah dan tidak perlukan pertolongan.”
Untuk yang tidak mengenalinya, Miyazaki Hayao ialah seorang pengarah, pembikin, penulis skrip untuk filem. Beliau juga merupakan juruanimasi, penulis dan mangaka. Beliau adalah pengasas bersama Studio Ghibli, salah sebuah studio anime paling terkenal di Jepun. Sepanjang kerjayanya beliau telah menerima banyak pengikitrafan dan anugerah sebagai pakar penceritaan. Sebagai pembikin filem anime, Miyazaki Hayao juga dianggap salah seorang pengarah terhebat.
Beliau pernah memenangi Oscar di dalam kategori Filem Animasi Terbaik untuk filem Spirited Away (Sen to Chihiro no Kamikakushi) pada tahun 2001. Filem tersebut sehingga kini kekal di tangga pertama jualan tertinggi sepanjang masa di Jepun.