Akibat keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, mangaka Ashihara Daisuke terpaksa menangguhkan terbitan manga World Trigger selama 21 bulan. Sepanjang hampir 2 tahun, beliau dilaporkan mengalami sakit leher yang teruk dan diserang beberapa penyakit. Beberapa hari lalu, beliau mengumumkan akan kembali melukis World Trigger dengan memuatnaik lukisan dan mesej berkenaan penyambungan manga dan penjagaan kesihatan beliau di masa hadapan.

Ini sudah pasti berita gembira buat peminat siri World Trigger yang sudah menanti sejak November 2016. Manga tersebut akan bersambung di Weekly Shonen Jump bermula pada edisi 29 Oktober selama 5 minggu. Ia kemudian dijadualkan untuk disambung di majalah Jump SQ dan dikeluarkan secara bulanan.

Kepada yang tidak mengetahui (atau sudah terlupa ?), siri manga World Trigger  mula diterbitkan di majalah Weekly Shonen Jump pada tahun 2013. Ia juga telah diadaptasi kepada siri anime sebanyak 73 episod, bermula pada 2014 sehingga 2016.

Ia mengisahkan sebuah bandar di mana sebuah gerbang misteri tebuka dan melaluinya makhluk yang dipanggil “Neighbor” memasuki bandar tersebut. Justeru organisasi pertahanan yang dinamakan Border ditubuhkan dan mereka membina senjata yang dinamakan Trigger. Suatu hari, seorang (seekor?) Neighbor, Yuma yang menyerupai manusia datang melalui gerbang tersebut dan ingin bersembunyi. Dia ditemui oleh pelatih Border, Osamu yang membantunya menyembunyikan diri.