Seperti yang telah dilakukan oleh Disney pada tahun-tahun kebelakangan ini, filem animasi klasik Aladdin pula akan diadaptasi ke dalam filem aksi hidup. Walaupun tidak perlu, dan kebanyakannya menerima kritikan daripada peminat dan pengkritik filem, Disney tetap memutuskan untuk menambah koleksi filem adaptasi aksi hidup mereka. Aladdin bakal tiba di pawagam pada 24 Mei 2019, seperti yang dipaparkan di dalam klip teaser berikut:

Filem tersebut mengambil pelakon terkemuka dan veteran, Will Smith untuk memegang watak Genie, jin yang tinggal di dalam pelita yang dijumpai oleh Aladdin. Manakala untuk watak Aladdin dan Puteri Jasmine masing-masing dilakonkan oleh Mena Massoud dan Naomi Scott (filem Power Rangers). Tugas pengarahan filem pula diserahkan kepada Guy Ritchie (The Man from U.N.C.L.E., filem-filem Sherlock Holmes dan King Arthur: Legend of the Sword).

Proses penggambaran telah selesai pada Januari 2018 dan penggambaran semula telah dilakukan pada Ogos yang lalu. Lokasi utama penggambaran pula ialah di Longcross Studios di England dan sebahagiannya di Wadi Rum, Jordan.

Bagaimanapun, filem Aladdin ini hadir dengan beberapa kontroversi. Keputusan Disney untuk menambah watak baharu, Putera Anders yang dilakonkan oleh Billy Magnussen dilihat tidak perlu dan menjelikkan. Para peminat melabelkan tindakan Disney itu hanya untuk memasukkan watak dan pelakon berkulit putih ke dalam filem tersebut. Watak Puteri Jasmine juga dikecam kerana diberikan kepada Naomi Scott yang bukan berketurunan timur tengah.

Di luar produksi pula, Disney dilaporkan tidak memberi sebarang pampasan mahupun pengiktirafan kepada pasukan pencipta asal animasi Aladdin. Terry Rossio yang menulis skrip filem animasi tahun 1992 itu bersama Ted Elliot, menyatakan kesedihan beliau berkenaan perkara ini melalui akaun Twitternya.

Tindakan Disney ini bagaimanapun tidak menyalahi sebarang undang-undang, tetapi sedikit tidak enak dipandang. Terutamanya di dalam industri kreatif, pengikitrafan kepada pengkarya merupakan etika yang titik beratkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here